

Projek Pinggiran Sungai Kerian yang dilaksanakan melalui peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan di bawah Jabatan Landskap Negara merupakan salah satu projek rekreasi pinggir sungai yang terbesar dibangunkan di Parit Buntar oleh Majlis Daerah Kerian. Pada masa ini fasa yang telah siap dimajukan iaitu bermula dari tali air berdekatan Arked MDK hingga ke tali air di Lorong Syed Hamid.

Dari segi konsep reka bentuk pelan mempamerkan warisan tumbuhan dan menggabungkan karya ciptaan manusia dengan alam semula jadi serta gabungan elemen tradisional dan kontemporari. Ciri-ciri kolonial diterapkan dalam reka bentuk seperti "window wall" yang menggunakan batu bata. Senibina Negeri Perak tetap diterapkan melalui wakaf yang mempunyai reka bentuk bumbung "Limas Belanda".

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Taman menjelang tahun 2005, berasaskan sosio budaya masyarakat dan menggunakan sumber-sumber tempatan dan ke arah landskap yang berfungsi, pihak MDK berharap pembangunan Taman Pinggiran Sungai Kerian berupaya menjadi pemangkin kepada keperluan tempat-tempat riadah bagi penduduk Bandar Parit Buntar dan sekitarnya.